KEINDAHAN landskap taman dan tasik di pusat pentadbiran negara, Putrajaya sememangnya menggamit tumpuan ramai. Dibangunkan dengan konsep bandar dalam taman, ia mempunyai 13 taman awam utama yang unik, sekali gus menarik perhatian pengunjung. Ia menjadi tumpuan penduduk Lembah Klang untuk menghabiskan cuti hujung minggu dan menjadi destinasi pelancongan utama untuk pelancong dari dalam serta luar negara.
Reka bentuk bangunannya juga memukau pandangan dan tidak hairan jika ramai yang mahu mengabadikan momen indah dalam hidup mereka di Putrajaya. Selain itu, Putrajaya turut menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah dan bersukan bagi masyarakat di ibu kota.
Tarikan terbaharu, Tangga Putrajaya juga sudah dibuka sejak Oktober lalu untuk orang ramai beriadah sambil menjalani gaya hidup sihat. Diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, pembinaan Tangga Putrajaya adalah bersempena dengan 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya. Ia dibina di atas cerun menuju Mercu Tanda di Taman Putra Perdana. Pembinaan Tangga Putrajaya mewujudkan kesinambungan laluan pejalan kaki dari Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.
Ia dapat dilihat sebagai satu paksi lurus (axis) yang menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu di Dataran Putra. Ketinggian Tangga Putrajaya dianggarkan 30 meter (m) dan jarak pendakian dari bawah ke mercu tanda adalah sejauh 200m.
Bagi tujuan keselamatan, laluan seumpama paksi lurus itu dibina tidak curam dengan mempunyai 248 anak tangga selebar tiga meter. Menariknya ia turut dilengkapi empat plaza dan 14 tapak hentian rehat selain 46 tiang lampu taman. Sebanyak lapan jenis pokok renek berwarna-warni turut dijadikan hiasan di kawasan tengah tangga itu selaras dengan konsep taman untuk memberi panorama hijau yang hidup segar.
Selain direka khusus untuk pendakian dan penurunan, ia juga dibina dengan struktur, fasiliti serta peralatan yang membolehkan pengunjung melakukan aktiviti bersukan, beriadah mahupun rekreasi secara santai di sepanjang binaan tangga sambil menikmati panorama indah Putrajaya. Lebih menarik, binaan tangga itu dikatakan diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik dunia seperti Spanish Steps di Itali, Potemkins Stairs di Ukraine dan Batu Caves, Selangor.